Wednesday, 15 May 2019

Kuih Keladi Berlauk

Bila saya buat kuih keladi ni pasti ingatan saya terus mengimbau zaman kanak-kanak dahulu. Mak selalu buat kuih keladi ini untuk minum petang.

Wajib dirumah kami setiap petang ada sejenis kuih air tangan mak saya di atas meja makan.

Bahan-bahan A

3 1/2 cawan tepung beras
1/2 cawan tepung ubi
3/4 cawan tepung gandum
1sudu kecil garam
1000ml santan

Bahan-bahan B
300g keladi

Bahan-bahan C
150g udang kering. (disangrai kemudian dikisar, jangan terlampau halus)

Bahan-bahan D
Bawang goreng (sebaiknya yang digoreng sendiri)
Sedikit daun bawang dan sup (dipotong halus)
Cili merah dan cili hijau (dibelah 4 dan dipotong kecil)


Cara Membuat:

1. Kukus bahan-bahan B sehingga empuk.

2. Masukkan bahan A ke dalam periuk. Kacau di atas api sederhana sehingga adunan menjadi pekat.                Kemudian masukkan keladi yang telah direbus. Kacau sekejap sehingga rata. Tuangkan adunan ke                dalam loyang 10"x10"x3" yang telah dialaskan dengan plastik. Sapukan sedikit minyak di permukaan            plastik.

3. Kukus selama lebih kurang 30 minit dengan api besar. Tutup pengukus hendaklah dilap setiap 5 minit bagi      mengelakkan wap air panas menitis ke atas permukaan kuih.

Setelah masak curahkan dadih ke atas kuih. Kemudian taburkan udang kering yang sudah dikisar halus.
Kukus semula selama 5-10 minit. Kemudian taburkan daun bawang bawang dan daun dan juga cili.

Kuih ini kebiasaannya dimakan bersama dengan sos cili.

Pasti ummmph!





Kuih Cek Mek Molek



Bahan-bahan:

300g ubi keledek
60g tepung gandum
1 sudu makan marjerin

Inti:
Gula pasir atau gula merah
Kelapa manis gula merah

Cara-caranya:

Rebuskan ubi keledek sehingga empuk. Setelah empuk toskan airnya dan lenyek ubi tersebut ketika ia masih panas. Biarkan sejuk seketika.

Masukkan marjerin. Gaul rata. Kemudian masukkan tepung sedikit demi sedikit sehingga habis.

Bahagi adunan tadi kepada beberapa bahagian dengan setiap satu beratnya 30g. Leperkan dan masukkan inti gula pasir atau gula merah anggaran 1/2 sudu makan gula. Boleh juga gantikan dengan inti kelapa manis. Buatkan bentuk bujur.

Setelah siap semua, boleh terus menggoreng dengan api yang sederhana.

Kuih ini juga boleh dijadikan sebagai kuih sejuk-beku.

Kuih hanya perlu digoreng separuh masak. Toskan. Biarkan kuih ini sejuk. Kemudian baharu diletakkan ke dalam bekas yang sesuai.






Kuih Lopes Pandan



Kuih Lopes Pandan antara kuih yang selalu mak saya buat tatkala saya kecil. Begitulah emak-emak zaman dahulu.Tidak pernah kering dengan idea.Segalanya seperti sudah dirancang dengan baik.Senarai menu semacam sudah melekat di dalam kepala mereka yang bergelar mak ini.

Tiada keluh dan kesah yang kedengaran. Rasa penat ditolak ke tepi. Tatkala pagi menyingkapkan tirai. Di saat ayam sudah mulai berkokok emak sudah sedia di dapur menyinsing lengan.

Mata saya sebagai saksi. Melihat emak begitu teliti melipat daun pisang yang telah diisikan dengan pulut menjadi bentuk segitiga. Kemudiannya diperkemaskan dengan mencucuk lipatan akhir dengan batang lidi yang telah ditajamkan.

Dahulu saya hanya mampu melihat tanpa pernah ada rasa untuk belajar.

Nah! sekarang saya sudah pandai buat Kuih Lopes Pandan ini. 


Bahan-bahan:

500g pulut
1/2 sudu besar air abu

150g gula merah
2 sudu besar gula pasir
150ml ml air
2 helai daun pandan

100g kelapa parut putih
Secubit garam



Cara-caranya:

Rendamkan pulut selama lebih kurang 2-3 jam. (Sebaiknya rendam dengan air daun pandan + sedikit pewarna hijau epal - daun pandan dikisar kemudian tapiskan)

Satukan gula merah, gula pasir, daun pandan  dan air di dalam periuk. Didihkan dengan api sederhana sehingga gula larut. Kemudian tapis dan biarkan ia sejuk. Simpan di dalam bekas yang sesuai. Air gula ini boleh tahan lama jika disimpan di dalam peti sejuk.

Layukan daun pisang. Potong daun pisang mengikut saiz yang dikehendaki. Sukatan saya adalah lebih kurang 3 inci. Bersihkan daun pisang dari kotoran.

Toskan pulut yang sudah direndam. Kemudian renjis-renjiskan air abu ke atas pulut. Kacau rata.

Bentukkan daun pisang menjadi segitiga. Masukkan pulut sebanyak 2 sudu besar dan padatkan.  Kemudian balutkan dengan sempurna.

(youtube)

Sementara itu didihkan air. Bila air sudah mendidih baharu dimasukkan pulut yang sudah dibungkus tadi. Rebus selama 50-60 minit. Tambahkan air panas jika air berkurangan.

Setelah masak, biarkan sejuk baharu disalutkan dengan kelapa parut yang telah dicampurkan dengan garam. Kelapa parut mesti dikukus terlebih dahulu untuk memastikan ia lebin tahan lama.






Tuesday, 14 May 2019

Kuih Sago






Kuih kegemaran saya.

Kuih yang paling mudah dan murah kos penghasilannya. Akan tetapi kalau tidak betul cara membuat dari segi teknikalnya dan juga bahan-bahannya, memang tidak akan menjadi.


Bahan-bahan:

200g sagu biji
150g gula pasir
550ml air
2 helai daun pandan (diikat)
Sedikit pewarna merah (boleh juga guna perisa sirap Ros Aminah)


Cara-caranya:

Biji sagu dibasuh dan direndam selama 2 minit. Didihkan air bersama dengan daun pandan dan pewarna. Setelah air mendidih masukkan biji sagu. Sentiasa dikacau dengan api perlahan hingga biji sagu kelihatan jernih. Masukkan gula. Kacau rata sehingga adunan menjadi pekat.

Setelah itu masukkan adunan ke dalam acuan loyang bersaiz 8"x8"x1" yang telah dialaskan dengan plastik. Lenserkan sedikit minyak di atas permukaan plastik supaya tidak melekat dan senang dipotong.

Biarkan sejuk. Gaulkan 1/4 sudu kecil garam bersama dengan 100g kelapa parut. Pastikan hanya kelapa parut putih sahaja yang digunakan. Sebaiknya dapatkan kelapa parut dari buah kelapa yang agak muda sedikit. Barulah kick!

Kuih Keria aka Kuih Gelang

Kami orang Perak panggil kuih ini Kuih Gelang. Bila dengar orang Kuala Lumpur panggil Kuih Keria, kami jadi Pergaaakk sikit.



Bahan-bahan:

300g ubi keledek
100g tepung gandum
Secubit garam

Cara-caranya:

Ubi keledek direbus terlebih dahulu sehingga empuk. Setelah empuk terus angkat dan toskan. Lenyek ubi keledek semasa masih panas. Kemudian masukkan garam. Masukkan tepung gandum sedikit demi sedikit. Uli hingga sebati. Timbangkan adunan 30g setiap satu. Leperkan adunan. buat lubang ditengahnya.

Sediakan minyak untuk menggoreng. Goreng dengan api yang sederhana. Goreng sehingga warna keria ini kekuningan barulah diangkat. Toskan.Biar sejuk.

Bahan sira:

80g gula halus
2 sudu besar air

Didihkan gula dengan air di atas kuali. Guna api yang kecil. Setelah air gula kelihatan mendidih dan agak pekat, masukkan kuih keria yang telah digoreng. Kacau sehingga semua bahagian kuih keria ini disaluti dengan gula dan kering. Terus angkat dan hidangkan. Jangan dibiarkan di dalam kuali. Kuih keria akan melekat.