Tuesday, 7 May 2019

Resepi Bingka Tepung Beras

Susah nak jumpa orang menjual bingka tepung beras sekarang ini, Saya pun tak pasti kenapa. Tapi yang pastinya bingka tepung beras ini sangat sedap rasanya. Cukup lemak dan manisnya.

Saya teringat dulu kalau di kampung saya iaitu Kg Sungai Tapah ada seorang kawan mak yang pandai buat bingka beras ini. Makcik Nab namanya. Setiap pagi Makcik Nab dan kawannya Makcik Yah akan berjualan kuih muih bertentangan dengan rumah saya.

Seawal 6.30 pagi mereka mulakan perniagaan. Pelbagai kuih muih ada dijual. Antara yang paling laris jualannya ialah bingka beras hasil tangan makcik Nab ni. Tak dinafikan bingka beras makcik Nab antara yang tersedap saya pernah makan masa tu.

Cukup serba-serbi dari segi rasa. Teksturnya juga tidak keras dan tidak terlalu lembik.

Ini membuatkan saya bersemangat untuk belajar kuih muih tradisi ini. Alhamdulillah saya menemui guru yang tepat iaitu Kak Saba. Kak Saba suatu ketika dulu adalah seorang pengusaha kuih muih melayu yang tersohor. Banyak hotel-hotel terkemuka menjadi pelanggan utama Kak Saba.

Sungguh saya teruja!

Jom kita lihat resepinya.

Bahan-bahan:

260g tepung beras (cap bunga teratai)
50g tepung grean peas (boleh juga gantikan dengan tepung jagung)
250g gula halus (boleh kurang atau tambahkan)
1550ml santan (saya guna santan kotak ms 1000ml + 550ml air)
1 sudu kecil garam halus

Cara membuatnya:

Panaskan oven terlebih dahulu dengan suhu 200'c. 

Satukan kesemua bahan ke dalam mangkuk besar. Kemudian tapiskan ke dalam periuk besar. Masakkan di atas api sederhana besar. Kacau hingga adunan pekat. 

Oleskan loyang saiz 9"x9"x2" dengan minyak. Boleh juga alaskan dengan kertas minyak.

Curahkan adunan yang telah pekat ke alam loyang. 

Bakar selama 1- 1 jam 15 dengan suhu oven 180'c mengikut kesesuaian oven masing-masing. Bila sudah masak biarkan dulu bingka di dalam oven. Sapukan minyak masak di atas permukaan bingka yang telah masak. Biar sejuk baru dipotong.


No comments:

Post a Comment