Tuesday, 7 May 2019

Resepi Kuih Serimuka

Assalamualaikum

Kuih serimuka ini antara yang paling sedap. Resepi hasil menuntut ilmu dari Kak Saba di Damansara 18 tahun yang lalu. Kak Zana gunakan resepi ini untuk tempahan pelanggan semasa masih bergiat aktif dalam menghasilkan kuih talam.

Ada 2 lagi resepi kuih serimuka dalam simpanan Kak Zana dari dua orang guru yang berbeza. Akan tetapi  resepi Kak Saba tetap no 1 dihati Kak Zana.

Sekarang Kak Zana dah pencen. Dah malas ambil tempahan. Hanya ambil tempahan dari jiran tetangga sahaja. Itupun bergantung pada kerajinan.

Cuma kadang-kadang tu bila teringin sangat nak makan terpaksa jugaklah buat seloyang. Makannya hanya beberapa keping sahaja. Selebihnya Kak Zana sedekahkan kepada jiran-jiran.

Kuih serimuka ini memang menjadi kuih kegemaran Kak Zana dari dulu lagi. Kak Zana sangat menggemari  apa jua jenis kuih dan makanan yang berasaskan pulut. Ketupat pulut, tapai pulut, pulut inti, pulut kuning dengan rendang, pulut putih dengan gula, pulut mangga dan sebagainya.

Jadi jangan salahkan penimbang berat ataupun cermin. Tiada istilah cermin ajaib. Kahkahkah

Sendiri cari masalah kan.



Bahan-bahannya:
Bahagian bawah
600g pulut (direndam sekurang-kurangnya 4 jam)
300 ml santan pekat
300 ml air
2 sudu teh garam (boleh kurangkan)
Bahagian lapisan atas
6 biji telur
80g tepung kastad
280g gula castor
330 ml santan pekat
330 ml air pandan (50g daun pandan dikisar)
atau 1 sudu kecil pes pandan (gunakan pes pandan yang berwarna hijau)
1 sudu kecil air alkaline
1/2 penutup pewarna hijau
1/2 sudu kecil garam
Sedikit esen vanila


Cara-caranya:

Untuk bahagian bawah (pulut)
Kacau rata santan yang telah dicampurkan dengan garam. Satukan pulut dan bancuhan santan. Kemudian tanak pulut hingga lembut.

Masukkan pulut yang sudah ditanak kedalam loyang saiz 10"x10". Loyang terlebih dahulu dialaskan dengan plastik saiz 14"x14". Tekap pulut dengan spatula yang keras hingga pulut mampat dan padat.
Satukan kesemua bahagian lapisan atas kedalam mangkuk. Kacau rata. Kemudian tapiskan. Masakkan adunan ini hingga naik wap dengan menggunakan api yang kecil.

Kukuskan semula pulut yang telah dimampatkan tadi dengan apa yang sederhana besar.. Kemudian masukkan sedikit adunan lapisan atas sehingga menutupi pulut. (Lihat gambar). Kukus dalam masa lebih kurang 3 minit. Kemudian masukkan adunan tepung yang selebihnya. Api tidak boleh terlalu besar ye. Api yang besar menyebabkan lapisan atas akan mengelembung dan berlubang.

Kukus selama 30 minit. Lap utup pengukus setiap 5 minit.

Beginilah jadinya bila api terlalu besar
Lapisan nipis - dikukus dalam masa  3-5 minit

Ada sedikit kenangan tentang kuih serimuka ni. Lepas habis SPM Kak Zana cuba-cuba untuk buat kuih serimuka berdasarkan resepi dari majalah.

Cewah.

Dengan yakin dan semangat yang berkobar-kobar Kak Zana buat kuih serimuka ni. Bila dah siap tu tunggu sejuk dulu baru boleh potong.

Akhirnya tibalah masa untuk memotong kuih dan merasai kesedapan kuih serimuka tu. Kononnya.

Hancur luluh hati bila kuih serimuka tu hanya indah kabar dari rupa. Kahkahkah.

Rasanya sedap ke tak?

Tak payah cerita lah.

No comments:

Post a Comment