Wednesday, 15 May 2019

Kuih Keladi Berlauk

Bila saya buat kuih keladi ni pasti ingatan saya terus mengimbau zaman kanak-kanak dahulu. Mak selalu buat kuih keladi ini untuk minum petang.

Wajib dirumah kami setiap petang ada sejenis kuih air tangan mak saya di atas meja makan.

Bahan-bahan A

3 1/2 cawan tepung beras
1/2 cawan tepung ubi
3/4 cawan tepung gandum
1sudu kecil garam
1000ml santan

Bahan-bahan B
300g keladi

Bahan-bahan C
150g udang kering. (disangrai kemudian dikisar, jangan terlampau halus)

Bahan-bahan D
Bawang goreng (sebaiknya yang digoreng sendiri)
Sedikit daun bawang dan sup (dipotong halus)
Cili merah dan cili hijau (dibelah 4 dan dipotong kecil)


Cara Membuat:

1. Kukus bahan-bahan B sehingga empuk.

2. Masukkan bahan A ke dalam periuk. Kacau di atas api sederhana sehingga adunan menjadi pekat.                Kemudian masukkan keladi yang telah direbus. Kacau sekejap sehingga rata. Tuangkan adunan ke                dalam loyang 10"x10"x3" yang telah dialaskan dengan plastik. Sapukan sedikit minyak di permukaan            plastik.

3. Kukus selama lebih kurang 30 minit dengan api besar. Tutup pengukus hendaklah dilap setiap 5 minit bagi      mengelakkan wap air panas menitis ke atas permukaan kuih.

Setelah masak curahkan dadih ke atas kuih. Kemudian taburkan udang kering yang sudah dikisar halus.
Kukus semula selama 5-10 minit. Kemudian taburkan daun bawang bawang dan daun dan juga cili.

Kuih ini kebiasaannya dimakan bersama dengan sos cili.

Pasti ummmph!





Kuih Cek Mek Molek



Bahan-bahan:

300g ubi keledek
60g tepung gandum
1 sudu makan marjerin

Inti:
Gula pasir atau gula merah
Kelapa manis gula merah

Cara-caranya:

Rebuskan ubi keledek sehingga empuk. Setelah empuk toskan airnya dan lenyek ubi tersebut ketika ia masih panas. Biarkan sejuk seketika.

Masukkan marjerin. Gaul rata. Kemudian masukkan tepung sedikit demi sedikit sehingga habis.

Bahagi adunan tadi kepada beberapa bahagian dengan setiap satu beratnya 30g. Leperkan dan masukkan inti gula pasir atau gula merah anggaran 1/2 sudu makan gula. Boleh juga gantikan dengan inti kelapa manis. Buatkan bentuk bujur.

Setelah siap semua, boleh terus menggoreng dengan api yang sederhana.

Kuih ini juga boleh dijadikan sebagai kuih sejuk-beku.

Kuih hanya perlu digoreng separuh masak. Toskan. Biarkan kuih ini sejuk. Kemudian baharu diletakkan ke dalam bekas yang sesuai.






Kuih Lopes Pandan



Kuih Lopes Pandan antara kuih yang selalu mak saya buat tatkala saya kecil. Begitulah emak-emak zaman dahulu.Tidak pernah kering dengan idea.Segalanya seperti sudah dirancang dengan baik.Senarai menu semacam sudah melekat di dalam kepala mereka yang bergelar mak ini.

Tiada keluh dan kesah yang kedengaran. Rasa penat ditolak ke tepi. Tatkala pagi menyingkapkan tirai. Di saat ayam sudah mulai berkokok emak sudah sedia di dapur menyinsing lengan.

Mata saya sebagai saksi. Melihat emak begitu teliti melipat daun pisang yang telah diisikan dengan pulut menjadi bentuk segitiga. Kemudiannya diperkemaskan dengan mencucuk lipatan akhir dengan batang lidi yang telah ditajamkan.

Dahulu saya hanya mampu melihat tanpa pernah ada rasa untuk belajar.

Nah! sekarang saya sudah pandai buat Kuih Lopes Pandan ini. 


Bahan-bahan:

500g pulut
1/2 sudu besar air abu

150g gula merah
2 sudu besar gula pasir
150ml ml air
2 helai daun pandan

100g kelapa parut putih
Secubit garam



Cara-caranya:

Rendamkan pulut selama lebih kurang 2-3 jam. (Sebaiknya rendam dengan air daun pandan + sedikit pewarna hijau epal - daun pandan dikisar kemudian tapiskan)

Satukan gula merah, gula pasir, daun pandan  dan air di dalam periuk. Didihkan dengan api sederhana sehingga gula larut. Kemudian tapis dan biarkan ia sejuk. Simpan di dalam bekas yang sesuai. Air gula ini boleh tahan lama jika disimpan di dalam peti sejuk.

Layukan daun pisang. Potong daun pisang mengikut saiz yang dikehendaki. Sukatan saya adalah lebih kurang 3 inci. Bersihkan daun pisang dari kotoran.

Toskan pulut yang sudah direndam. Kemudian renjis-renjiskan air abu ke atas pulut. Kacau rata.

Bentukkan daun pisang menjadi segitiga. Masukkan pulut sebanyak 2 sudu besar dan padatkan.  Kemudian balutkan dengan sempurna.

(youtube)

Sementara itu didihkan air. Bila air sudah mendidih baharu dimasukkan pulut yang sudah dibungkus tadi. Rebus selama 50-60 minit. Tambahkan air panas jika air berkurangan.

Setelah masak, biarkan sejuk baharu disalutkan dengan kelapa parut yang telah dicampurkan dengan garam. Kelapa parut mesti dikukus terlebih dahulu untuk memastikan ia lebin tahan lama.






Tuesday, 14 May 2019

Kuih Sago






Kuih kegemaran saya.

Kuih yang paling mudah dan murah kos penghasilannya. Akan tetapi kalau tidak betul cara membuat dari segi teknikalnya dan juga bahan-bahannya, memang tidak akan menjadi.


Bahan-bahan:

200g sagu biji
150g gula pasir
550ml air
2 helai daun pandan (diikat)
Sedikit pewarna merah (boleh juga guna perisa sirap Ros Aminah)


Cara-caranya:

Biji sagu dibasuh dan direndam selama 2 minit. Didihkan air bersama dengan daun pandan dan pewarna. Setelah air mendidih masukkan biji sagu. Sentiasa dikacau dengan api perlahan hingga biji sagu kelihatan jernih. Masukkan gula. Kacau rata sehingga adunan menjadi pekat.

Setelah itu masukkan adunan ke dalam acuan loyang bersaiz 8"x8"x1" yang telah dialaskan dengan plastik. Lenserkan sedikit minyak di atas permukaan plastik supaya tidak melekat dan senang dipotong.

Biarkan sejuk. Gaulkan 1/4 sudu kecil garam bersama dengan 100g kelapa parut. Pastikan hanya kelapa parut putih sahaja yang digunakan. Sebaiknya dapatkan kelapa parut dari buah kelapa yang agak muda sedikit. Barulah kick!

Kuih Keria aka Kuih Gelang

Kami orang Perak panggil kuih ini Kuih Gelang. Bila dengar orang Kuala Lumpur panggil Kuih Keria, kami jadi Pergaaakk sikit.



Bahan-bahan:

300g ubi keledek
100g tepung gandum
Secubit garam

Cara-caranya:

Ubi keledek direbus terlebih dahulu sehingga empuk. Setelah empuk terus angkat dan toskan. Lenyek ubi keledek semasa masih panas. Kemudian masukkan garam. Masukkan tepung gandum sedikit demi sedikit. Uli hingga sebati. Timbangkan adunan 30g setiap satu. Leperkan adunan. buat lubang ditengahnya.

Sediakan minyak untuk menggoreng. Goreng dengan api yang sederhana. Goreng sehingga warna keria ini kekuningan barulah diangkat. Toskan.Biar sejuk.

Bahan sira:

80g gula halus
2 sudu besar air

Didihkan gula dengan air di atas kuali. Guna api yang kecil. Setelah air gula kelihatan mendidih dan agak pekat, masukkan kuih keria yang telah digoreng. Kacau sehingga semua bahagian kuih keria ini disaluti dengan gula dan kering. Terus angkat dan hidangkan. Jangan dibiarkan di dalam kuali. Kuih keria akan melekat.




Talam Sagu Ceria


Rasa kuih ini tidak sama dengan kuih sagu tradisi. Cara penghasilannya juga berbeza. Resepinya juga sama sekali berbeza.

Bahan-bahan:

A
210g biji sagu
150ml santan pekat
120g gula halus
60 kelapa parut
1/4 sudu kecil garam halus

Pewarna hijau epal, kuning dan merah

Cara-caranya:

Biji sagu dibasuh dan rendamkan selama lebih kurang 5 minit.

Satukan kesemua bahan di dalam periuk. Tambahkan pewarna kuning telur. Masukkan adunan ke dalam loyang 9"x9"x3" dengan dialas plastik. Kukuskan selama 20 minit dengan api sederhana. Tutup pengukus hendaklah dilap setiap 5 minit bagi mengelakkan wap air panas ke atas adunan.

Ulangi langkah pertama tadi dan ditambahkan dengan pewarna merah pulak. Kukus selama 20 minit.

Seterusnya diikuti dengan warna hijau epal pula. Kukus selama 30 minit dengan api sederhana.

Sejukkan dahulu baharu dipotong.


Tips Umum

(BELUM COMPLETE)


Mesti ikut sukatan resepi yang telah ditetapkan
Tepung mesti diayak. Begitu juga dengan bahan-bahan kering yang lain seperti serbuk penaik, soda bikarbonat

Didihkan air dalam pengukus terlebih dahulu

Gunakan santan segar. Jika tiada pilihan boleh gunakan santan kotak (untuk tahan lebih lama)

Minimumkan penggunaan pewarna tiruan.




Kos Modal dan Harga Jualan

Senarai nama pembekal bahan-bahan kuih KL dan Selangor

(BELUM COMPLETE)


Bake With Yen KL
29 & 33, Lorong Haji Taib 1
Chow Kit
50350 Wilayah Persekutuan
Kuala Lumpur
03-26927623
 bakewithyen.net

Bake With Yen Puchong
No 30 & 32, Persiaran Puteri Satu
Bandar Puteri
47100 Puchong
Selangor
03-80601828

Bake With Yen Petaling Jaya
6, Jalan SS 24/13, Taman Megah
47301 Petaling Jaya
Selangor
03-78049361

Bagus Marketing Sdn Bhd
No 214, Jalan Negara 2
Taman Melawati
53300 Wilayah Persekutuan
Kuala Lumpur
03-41613752
bagus.com.my

Bagus Marketing Sdn Bhd (HQ)
52, Jalan Rugbi 13/30
Seksyen 13, 40100 Shah Alam
Selangor
03-55110688

Bagus Marketing Sdn Bhd
56-58, Jalan Rugbi 13/30
Seksyen 13, 40100 Shah Alam
Selangor
03-55110688

Hoi Bakery
13, Jalan Gangsa SD5/3F
52200 Bandar Sri Damansara
Wilayah Persekutuan KL
03-62742262
hoibi.com.my

Yumi Bakery Supplies Sdn Bhd
Block D-01-06 Star Parc Point Commercial
Jalan Genting Kelang
Setapak Kuala Lumpur
012-6463228

Sim Bakery Supplies
56, Jalan Bunga Tanjung 8
Taman Muda, Batu 9
56100 Cheras
Wilayah Persekutuan
03-42967399
simbakerysupplies.wixsite.com/sim56

Yummie Bakery Ingredients Supply
22, Jalan Medan Pb 2a
Seksyen 9
Bandar Baru Bangi
Selangor
03-89258098

Harvest Bakery Ingredients Sdn Bhd
Lot 22, 23 & 25
Jalan Utarid U5/15
Section U5
40150 Shah Alam Selangor
03-78461008
harvestbi.com.my

Pastry Pro Sdn Bhd
10, Jalan 3/37A
Taman Bukit Maluri
52100 Kepong
Wilayah Persekutuan KL
03-62721155

Bake Well Supplies (Gombak)
47, Jalan SG 1/9
Taman Sri Gombak
68100 Batu Caves
Selangor
03-61897896
bwsmal@bakewell.com.my

Manis Bakeru Ingredients Shop
27, Jalan Manis 7
Taman Segar
56100 Cheras
Wilayah Persekutuan KL
03-91308828
freewebs.com/manis27

Chang Thung Sdn Bhd
26 Jalan SS 24/13
TamanMegah
47302 Petaling Jaya
Selangor
03-78044688

8P Concept Sdn Bhd
57, Jalan Medan Midah
Taman Midah
56000 Cheras
Wilayah Persekutuan KL
03-91329008
freewebs.com/8pconcept


Friday, 10 May 2019

Bingka Labu

Bahan-bahan:

A
300g tepung gandum
450g gula halus
120g marjerin
1 1/2 sudu kecil garam

B
6 biji telur
400ml santan
1200 g labu kuning. (Buang kulit, kukus dan timbang)

Cara-caranya:

Kacau bahan-bahan A sehingga menjadi serbuk. Kisarkan bahan-bahan B sehingga halus. Masukkan ke dalam periuk yang sesuai. Satukan bahan A dengan bahan B. Kacau di atas api sehingga adunan menjadi pekat sedikit.

Kemudian curahkan adunan ke dalam loyang 9"x9"x3". Loyang disapukan dengan minyak ataupun marjerin terlebih dahulu.

Bakar selama 1 jam dengan suhu oven 180'C.

Adunan ini boleh juga dibakar dengan mengunakan acuan bahulu kemboja atau acuan kuih bakar. Kemudian ditaburkan dengan sedikit bijan.






Kuih Lapis Kacang Hijau


Bahan-bahan:

A
100g kacang hijau

B
230g tepung kacang hijau
50g tepung honkwee
20g tepung ubi

C
4 cawan air
250g gula merah
250g gula pasir

D
10 biji telur
5 cawan santan pekat
1 sudu kecil garam.

Sedikit pewarna hijau epal

Cara-caranya:

Panaskan pengukus terlebih dahulu.

Bahan A rebus sehingga empuk dan dilenyek sedikit. Tapi jangan sampai lumat.

Campurkan kesemua bahan C. Didihkan di atas api sehingga gula larut. Tapiskan. Curahkan adunan C ke dalam adunan B. Kacau sehingga sebati. Masukkan kesemua bahan D. Kacau rata.

Bahagikan adunan kepada 6 bahagian. 3 bahagian dengan warna asal dan dicampurkan dengan kacang hijau yang telah direbus dan dilenyek. Manakala 3 bahagian lagi ditambah dengan pewarna hijau epal.

Alaskan loyang 10"x10"x1" dengan plastik. kemudian disapukan dengan sedikit minyak dipermukaan plastik.

Mulakan dengan pengukus bahagian berwarna asal. Kukus selama 5 minit untuk setiap lapisan. Bahagian terakhir hendaklah dikukus selama 25 minit. Pastikan penutup pengukus sentiasa dilap setiap 5 minit.

Tunggu sejuk baharu dipotong.






Kuih Lapis

Bahan-bahan:

A
320g tepung beras (cap 3 teratai)
180g tepung gandum
1 1/4 sudu minyak jagung

B
300ml gula pasir
750ml santan pekat
800ml santan cair
1 sude kecil garam halus
2 helai daun pandan

Sedikit perisa sirap Ros Aminah (untuk warna merah)

Cara-caranya:

Panaskan pengukus terlebih dahulu.

Masukkan kesemua bahan B ke dalam periuk. Masak sehingga gula larut. Tapiskan. Masukkan bahan A ke dalam bekas yang berisi bahan-bahan A. Kacau sehingga rata sehingga tepung tidak berpintal lagi.Bahagikan kepada 6 bahagian. 3 bahagian dicampurkan dengan sedikit pewarna merah. Manakala 3 bahagian lagi dibiarkan dengan warna asal.

Alaskan loyang 10"x10"x1" dengan plastik. Kukus selapis demi selapis selama 5 minit untuk setiap lapisan. Lapisan terakhir dikukus selama 25 minit. Petutup pengukus mestilah dilap setiap 5 minit sekali ketika mengukus lapisan yang terakhir.




Pulut Serunding

Pulut Serunding antara kuih berasaskan pulut yang dipelbagaikan Cara mudah menggantikan pulut panggang. Bezanya Pulut Serunding tiada aroma daun pisang.

Dahulu sewaktu saya masih mengusahakan perniagaan kafe dan katering kuih Pulut Serunding ini antara yang menjadi pilihan klien. Kuih ini selain tekstur pulutnya yang lembut, intinya mestilah secukup rasa. Cukup garam dan gulanya. Cukup pedasnya. Disitulah nikmatnya memakan Pulut Serunding.


Bahan-bahan:

A
500g pulut
1/4 sudu kecil garam
2-3 helai daun pandan

B
350ml santan

Rendam pulut 2-3 jam.Jika gunakan pulut susu tidak perlu direndam. Satukan kesemua bahan A dan kukus 15-20 minit atau sehingga pulut lembut. Kemudian gaulkan pulut yang sudah dikukus dengan bahan B.Kukus selama 10 minit atau hingga cukup masak.Kemudian sejukkan.

Bahan-bahan serunding:

A
50g cili kering (direbus dan dikisar)
2 batang serai (dihiris halus)
100g bawang besar 
6 biji buah keras

B
7 sudu besar gula putih (boleh tambah atau kurang mengikut citarasa)
1 sudu kecil garam halus (boleh tambah)
2 sudu kecil biji ketumbar (disangrai dan ditumbuk atau kisar)
Sedikit serbuk lada hitam (pilihan)
Serbuk perisa (pilihan)
Sedikit serbuk kunyit

C
400g kelapa parut (dikukus selama 20 minit untuk tahan lama)

D
Sedikit minyak untuk menumis

Cara-caranya:
Panaskan minyak. Kemudian tumis bahan A sehingga naik minyak. Masukkan kelapa parut yang telah dikukus. Kacau rata. Kemudian masukkan bahan B. Kacau hingga rata dengan menggunakan api yang kecil. Biar sehingga kering. Angkat dan biarkan sejuk.

Bulat-bulatkan pulut yang telah siap dikukus mengikut saiz yang dikehendaki. Gaulkan dengan inti serunding tadi. Hidangkan di dalam pinggan.



Kuih Karipap

Bahan-bahan Pastri:

500g tepung gandum
150g minyak masak
50ml air
Secubit garam

Cara-caranya:

Panaskan minyak. Curahkan minyak ke dalam bekas yang telah dimasukkan tepung gandum. Gaul perlahan sehingga menjadi seperti serbuk. Kemudian masukkan garam dan air. Uli sehingga sebati. Air boleh gunakan air ais atau pun air paip biasa. Jika menggunakan air ais, pastri akan menjadi lebih rapuh.

Timbang adunan mengikut saiz yang dikehendaki. Bulat-bulatkan. Rehatkan sebentar. Kemudian canaikan doh menjadi bentuk bulat. Siap untuk dimasukkan inti.

Bahan-bahan Inti:

A
1 labu bawang besar
2 siung bawang putih
1/2 inci halia

B
200g daging atau ayam kisar (boleh digantikan dengan udang kering 50g atau lebih jika menggunakan ubi keledek)

C
3 sudu besar rempah kari daging
Sedikit cili serbuk (jika mahu pedas)
Garam secukup rasa
Sedikit gula

D
500g ubi kentang (boleh gantikan dengan ubi keledek putih)

Sedikit daun sup (dipotong halus)

Sedikit minyak untuk menumis

Cara-caranya:

Ubi kentang dikupas dan dipotong dadu.

Panaskan minyak. Tumiskan bahan-bahan A. Bila sudah naik bau, masukkan Bahan-bahan C. Kacau rata sehingga naik minyak. Kemudian masukkan daging atau ayam kisar. Kacau lagi. Setelah itu masukkan ubi kentang. Boleh tambahkan sedikit air. Kacau. Biarkan sehingga ubi empuk. Bila inti hampir kering dan cukup rasa masukkan daun sup yang telah dipotong. Kacau sebentar dan boleh diangkat.




Onde Onde Buah Melaka

Bahan-bahan:

A
200g ubi keledek putih

B
300g tepung pulut
8-10 helai daun pandan
1 sudu besar tepung ubi
Beberapa titik pewarna hijau epal
200ml air
Secubit garam

C
100g gula melaka (dipotong kecil)

D
Secubit garam
250g kelapa parut

Cara-caranya:
Rebuskan ubi keledek sehingga empuk. Lecekkan ubi semasa masih panas. Biar sejuk. Potong halus daun pandan kemudian kisarkan dengan 200ml air. Kemudian tapis.

Masukkan tepung pulut dan tepung ubi ke dalam bekas ubi keledek yang telah dilecek. Curahkan air sedikit demi sedikit. Tambahkan sedikit pewarna hijau epal dan secubit garam. Gaul rata. Jika agak keras boleh tambahkan lagi air daun pandan.

Ambil sedikit adunan tepung dan masukkan gula melaka yang telah dipotong kecil. Bulatkan.Sementara itu didihkan air untuk merebus bebola onde onde yang telah siap digentel. Masukkan bebola onde onde ke dalam air rebus. Tunggu sehingga bebola onde onde timbul baharu diangkat. Biarkan airnya kering dan letakkan ke dalam bekas kelapa parut.

Kelapa parut mesti dikukus dahulu selama lebih kurang 10 minit. Gaulkan dengan garam dan biarkan sejuk sebelum digunakan.





Pulut Inti


Bahan-bahan:

A
400g pulut
1/4 sudu kecil garam
2-3 helai daun pandan

B
280ml santan

Rendam pulut 2-3 jam.Jika gunakan pulut susu tidak perlu direndam. Satukan kesemua bahan A dan kukus 15-20 minit atau sehingga pulut lembut. Kemudian gaulkan pulut yang sudah dikukus dengan bahan B.Kukus selama 10 minit atau hingga cukup masak.Kemudian sejukkan.

Bahan Inti:

250g kelapa parut
100g gula melaka
40g gula merah
85ml air
1 sudu kecil tepung gandum

Daun pisang untuk membungkus.

Didihkan air dengan gula sehingga gula hancur. Tapiskan. Kemudian masukkan kelapa parut. Kacau sehingga agak kering. Taburkan tepung gandum dan kacau rata. Bila sebati dan kering boleh tutup api.


Cara membungkus:

Bulat-bulatkan adunan pulut. Letakkan di atas daun pisang. letakkan sedikit inti kelapa dan bungkuskan seperti membungkus nasi lemak.

*Sila lihat gambar.





Biodata Saya


Penulis dilahir dan dibesarkan di Ipoh, Perak. Merupakan anak ke sembilan (9) dari 10 orang adik beradik. Mendapat pendidikan sekolah rendah di Sekolah Kebangsaan Manjoi. Meneruskan pendidikan sekolah menengah di Sekolah Menengah Seri Puteri, Jalan Sungai Pari Ipoh. Kemudian melanjutkan pelajaran ke Tingkatan Enam (6) di sekolah Menengah Methodist ACS Ipoh.

Memulakan pekerjaan pada tahun 1992 setelah tamat peperiksaan STPM setelah gagal diterima masuk ke Universiti dengan keputusan STPM 4P dan 1R.

Menunjukkan minat yang mendalam dalam bidak masakan semenjak dari kecil. Dilahirkan dalam keluarga yang kebanyakannya menjadikan bisnes makanan sebagai bisnes utama membuatkan penulis sedikit sebanyak terpengaruh dengan suasana itu.

Sewaktu masih di sekolah rendah penulis sering menjadi pembantu ibunya untuk menyalin resepi masakan yang disiarkan di TV.  Zaman dahulu teknologi masih belum canggih. Segala maklumat adalah melalui televisyen dan radio. Penulis sering mempraktik resepi yang berjaya disalin sama ada resepi masakan kampung, kek, kuih-muih dan juga biskut. Resepi yang dicuba ada yang menjadi dan adakalanya tidak menjadi.

Sekolah memasak pertama secara tidak formal adalah di Teluk Intan dimana arwah nenek, ibu saudara, sepupu dan abang penulis sendiri turut terlibat dalam bisnes kedai makan. Dari sekolah rendah lagi penulis sudah didedahkan dengan dunia masakan. Dari situ penulis mengambil peluang untuk belajar sedikit demi sedikit tentang  bisnes terutama yang melibatkan penghasilan makanan.

Penulis mula mengambil tempahan biskut raya pada tahun 1992. Sewaktu itu menulis masih di Ipoh. Menjadikan kakak ipar sebagai orang perantara untuk mempromosikan biskut hasil tangan penulis di tempat kerjanya Carsem (M) Sdn Bhd.

Berhijrah ke Kuala Lumpur pada tahun 1994 untuk memulakan kerjaya di BSN Merchant Jalan Sultan Ismail Kuala Lumpur. Berkhidmat di BSN Merchant selama lebih kurang 5 tahun. Mengambil keputusan untuk beerhenti kerja setelah merasakan tiada jiwa dan rasa untuk bekerja di pejabat.

Penulis mula menghadiri kelas memasak secara professional pada tahun 1998. Bermula dengan kelas demo di Bake With Yen Kuala Lumpur membawa kepada penulis mengenali guru-guru memasak hebat pada masa itu. Antaranya Puan Norpisah yang dikenali sebagai Kak Nor. Kemudiannya penulis menghadiri kelas yang diadakan oleh Puan Asiah dari Jalan Cochrane dan Puan Asmah di Ampang.

Tidak berhenti disitu sahaja, penulis lebih giat mencari ilmu dengan menghadiri kelas yang dikendalikan oleh Kak Pau (arwah) di Kelana Jaya dan Kak Saba di Bukit Damansara. Pada waktu itu penulis sudah mula pengambil tempahan untuk kuih-muih melayu tradisi.

Pelbagai menu masakan penulis pelajari dari masakan melayu, kuih-muih, kek dan biskut. Pada waktu yang sama penulis giat melakukan R&D untuk menghasilkan biskut ciptaan sendiri.


8 Soalan Analisa



Nama Penuh



:


Suzana binti Osman
Pendidikan
:
STPM 1991

Pengalaman Kerja
:
BSN Merchant Bank 1994-1999
Syuen Corp 1992-1994

Pengalaman Bisnes
:
Pau Sejuk-beku (Tahun 2000 sehingga sekarang)
Bisnes Café (2008 -2014)

Minat, kemahiran
dan kepakaran
:
Mempunyai kemahiran memasak masakan Melayu dan Barat. Minat fotografi dan bidang penulisan.

Nyatakan bolg, web jika ada
:
suzanaosman.blogspot.com
kuihmuihpopular.blogspot.com

Buku, genre yang
suka dibaca
:
Motivasi, novel dan travelog


Matlamat 
:
Berjaya sebagai penulis. Memperbaiki kelemahan 
\dalam penulisan. 

Ingin Menghasilkan e-book
Kuih-muih tradisi Melayu
Biskut Lama dan Baru
Kisah HIdup

Talam Gula Merah


Bahan lapisan bawah:

60g tepung green pea
150g tepung beras
1 cawan gula merah
1/2 cawan gula putih
Sedikit air kapur
1100ml air

Masukkan kesemua bahan ke dalam periuk. Kacau di atas api kecil sehingga pekat. Tuangkan ke dalam loyang 10"x10"x1". Loyang di alas dengan plastik. Kukus selama 20. Penutup pengukus hendaklah dilap selalu.

Bahan lapisan atas:

500ml santan
600ml air
1/2 cawan gula
75g tepung beras
55g tepung green pea
1 sudu kecil garam halus.

Satukan kesemua bahan di dalam periuk. Kacau di atas api yang kecil sehingga naik wap. Curahkan adunan ke atas lapisan bawah. Lapisan bawah mestilah dilap terlebih dahulu menggunakan tisu supaya permukaan kering.

Kukus selama 20 dengan api sederhana besar.



Apam Puteri Ayu

Bahan-bahan:

2 cawan tepung gandum (apa-apa jenama pun tak kisah)
1 cawan gula halus
2 biji telur Gred B
1 sudu kecil ovelete
1 cawan santan pekat
1 sudu kecil pes pandan


Bahan-bahan lain:

1 biji kelapa parut putih
Sedikit garam
1 1/2 sudu besar tepung ubi

Gaul semua bahan di atas hingga rata. Masukkan ke dalam acuan dan ratakan.



Cara-caranya:

Pukul telur, gula dan ovelete sampai gebu. Masukkan pes pandan, santan dan tepung.

Biarkan air mendidih dahulu. Masukkan acuan yang telah diisikan dengan kelapa parut. Kukuskan sebentar. 2-3 minit. Kemudian baru masukkan bancuhan tepung. Jangan penuh sangat sebab adunan akan mengembang sedikit dalam proses mengukus.

Kukus selama 15 minit sampai masak dengan api yang sederhana.

Siap.

Dah siap letak kelapa. Macam nilah
Bahan-bahan yang digunakan

Kuih Tepung Pelita


Bahan-bahan:

180g tepung beras (cap 3 Gajah)
1250ml air
80g daun pandan
Sedikit kapur
Sedikit pewarna hijau epal

Cara-caranya:
Bancuh semua bahan-bahan di atas. Tapiskan ke dalam periuk. Masak sebentar sehingga agak pekat.

Di dalam pengukus susunkan acuan sampan. Letakkan 1 sudu teh gula di dalam setiap sampan. Curahkan adunan ke dalam sampan.Separuh. Kukus selama 20 minit. Penutup pengukus mestilah dilap.

(Lihat video)

Cara buat sampan dari daun pisang:

(Lihat video)

Bahan-bahan kepala:

90g tepung beras cap 3 Gajah
300ml santan pekat
700ml air paip
2 sudu kecil garam

Cara-caranya:

Satukan kesemua bahan di atas. Kemudian tapiskan. Masakkan sebentar di atas api yang kecil sehingga naik wap dan sedikit pekat. Tuangkan ke atas badan tadi. Kukus lagi sehinga 7-10 minit dengan api sederhana.











Talam Srikandi



Bahan-bahannya:
Bahagian bawah
400g pulut (direndam sekurang-kurangnya 4 jam)
200 ml santan pekat
200 ml air
1 1/4 sudu teh garam (boleh kurangkan)

Bahagian lapisan tengah:
120g biji sagu (boleh guna biji sagu bewarna hijau atau tambahkan pewarna hijau epal)
65g gula
85ml santan pekat
30g kelapa parut
50g kacang hijau atau kacang merah yang telah direbus dan dilenyek
1/2 sudu teh garam
Sedikit pewarna hijau

Bahagian lapisan atas
25g tepung beras
25g tepung gandum
35g tepung ubi
1/2 sudu teh garam
50g gula castor
150ml air
Sedikit pewarna


Cara-caranya:

Untuk bahagian bawah (pulut)
Kacau rata santan yang telah dicampurkan dengan garam. Satukan pulut dan bancuhan santan. Kemudian tanak pulut hingga lembut.

Masukkan pulut yang sudah ditanak kedalam loyang saiz 10"x10"x3". Loyang terlebih dahulu dialaskan dengan plastik saiz 14"x14". Tekap pulut dengan spatula yang keras hingga pulut mampat dan padat. Kukuskan adunan pulut selama 10 minit. Curahkan adunan lapisan tengah.

Campurkan kesemua bahan lapisan tengah. Curahkan ke atas lapisan bawah. Kukus selama 30 minit. Kemudian curahkan adunan lapisan atas. 

Satukan kesemua bahagian lapisan atas kedalam mangkuk. Kacau rata. Kemudian tapiskan. Masakkan adunan ini hingga naik wap dengan menggunakan api yang kecil. Curahkan ke atas adunan awal. Kukus selama 25 minit dengan api sederhana besar.

Penutup pengukus hendaklah dilap setiap 5 minit sekali bagi memastikan air dari wap panas tidak menitis.



Kuih Ketayap (Kuih gulung/dadar)


Bahan-bahan:

A
2 cawan tepung gandum
1 cawan air
1 cawan santan
2 biji telur (3 pun boleh)
1/4 sudu teh garam
1 sudu besar minyak masak

B
50g daun pandan (dipotong kecil-kecil)
1 cawan air
Dikisar halus dan tapis. Ambil airnya.

Gaulkan kesemua bahan A didalam mangkuk. Bila sudah sebati, masukkan ke dalam mesin pengisar dan kisarkan. Tambahkan air daun pandan Kisar sehingga halus. Kalau agak pekat boleh tambah sedikit air.

Bahan-bahan Inti:

A
230g gula merah
80g gula putih
250ml air
Sedikit daun pandan

B
550g kelapa parut (muda)

C
2 sudu besar tepung gandum


Masakkan kesemua bahan A di dalam periuk sehingga gula hancur. Tapiskan. Masukkan ke dalam kuali. Masukkan bahan-bahan B Masak sehingga agak kering. Taburkan tepung gandum. Kacau rata. Tutup api bila sudah kering. Biarkan sejuk baharu digunakan.

Boleh disimpan dalam freezer untuk tempoh yang lama. Hanya perlu panaskan semula jika hendak digunakan.



Talam Ubi Sagu


Bahan-bahan:

700g ubi parut
100ml santan pekat
1/4 sudu kecil garam
230g gula putih
(jika tiada ubi kuning, boleh gantikan dengan sedikit pewarna kuning telur)

Cara-caranya:

Campurkan kesemua bahan di atas. Masak sehingga naik wap. Tuangkan ke dalam loyang. Kukus selama 25 minit dengan api besar. Guna loyang 10"x10"x1". Alaskan loyang dengan plastik. Kemudian tuangkan lapisan atas.

Bahan-bahan lapisan atas:

300g sagu kecil
150g putih
100g kelapa parut
1/2 sudu kecil garam
200ml santan
Sedikit pewarna coklat.

(Adunan di atas boleh dibahagikan kepada 2 bahagian. Warna hijau dan warna coklat bagi menambahkan keceriaan)

Cara-caranya:
Satukan kesemua bahan di atas. Tuangkan ke atas lapisan bawah yang sudah dikukus. Kukus selama 25 minit dengan api sederhana besar.



Kuih Cara Berlauk


Bahan-bahannya:

300g tepung gandum
1/2 sudu kecil garam halus
2 biji telur (boleh tambah 1 biji)
300ml santan
500 ml air
2 sudu makan minyak masak atau minyak sapi
Sedikit pewarna kuning telur

Cara-caranya:

Kisar kesemua bahan. Panaskan acuan. Sapukan sedikit minyak. (Sila lihat video)

Bahan-bahan lauk:

A
5 biji bawah ros kecil
5 ulas bawang putih
1/2 inci halia

B
5 sudu besar rempah kari daging
400g daging atau ayam kisar
Garam secukup rasa
Sedikit serbuk perisa (pilihan)
Sedikit cili serbuk (pilihan untuk tambah rasa pedas)

Sedikit minyak untuk menumis.

Bahan hiasan
Daun bawang
Daun sup
Cili merah dan cili hijau
Sedikit bawang goreng


Cara-caranya:

Panaskan minyak. Tumis bahan A hingga kekuningan dan naik baunya. Masukkan rempak kari yang telah dibancuh dengan sedikit air. Masak hingga naik bau dan pecah minyak. Kemudian masukkan garam dan perisa. Biar betul-betul masak baharu diangkat.




Resepi Apam Butter


Bahan-bahan Caramel

A
200g gula putih
20ml air paip
250g mentega atau marjerin

Bahan-bahan lain

B
250g gula putih
3 biji telur
2 sudu kecil soda bicarbonat

C
1 tin susu cair

D
300g tepung kek atau tepung kek


Cara-caranya:

Sediakan caramel terlebih dahulu dari bahan-bahan A.

Kacau rata semua bahan-bahan B dan pukul hingga kembang. Masukkan kesemua bahan C dan pukul lagi dengan kelajuan tinggi menggunakan mesin pemutar. Masukkan pula bahan D dan pukul secara perlahan. Akhir sekali masukkan bahan A. Pukul sekejap sahaja. Adunan ini mesti diperap selama 6 jam dan dibalut dengan plastik dipermukaannya. Kemudiannya dikukus selama 15 minit dengan api yang kuat.

Selepas dikukus tuangkan adunan ke dalam jag dan rendamkan dengan air sejuk.

Sudukan adunan ke dalam acuan. Hanya 3/4 dari acuan.

Kukus selama 10 minit dengan api sederhana.






Thursday, 9 May 2019

Pengunaan bahan-bahan dan perbezaan kegunaan mengikut jenama

Tepung Gandum

Tepung Gandum Am/Asas dan Bervitamin
Tepung gandum adalah tepung asas dalam pembuatan kuih-muih, kek dan roti.Ia dihasilkan dari bijirin gandum yang dikisar. Terbahagi kepada beberapa jenis iaitu tepung gandum yang bersih, putih, perang atau keras. Ada jenis ini yang dilabelkan untuk kegunaan tertentu.

Tepung Gandum (Keras) mengandungi kadar gluten yang tinggi. Ia membolehkan adunan menjadi kenyal dan lebih anjal. Tepung gandum jenis ini sangat sesuai untuk menghasilkan roti.

Tepung Gandum (Lembut) pula adalah tepung gandum yang sesuai untuk membuat kek. Ia mempunyai tekstur yang lebih halus. Kadar glutennya rendah. Bukan sahaj lembut bahkan tepung ini menjadikan tekstur adunan lebih rapuh. Terbahagi kepada Tepung Kek dan Tepung Pastri.

Tepung gandum secara amnya juga terbahagi kepada 2. Bervitamin dan yang asas (100% kisaran bijirin gandum).

Contoh tepung Bervitamin adalah Tepung Gandum Cap Sauh.

Tepung Gandum Serbaguna
Tepung Gandum serbaguna adalah tepung yang sudah dicampurkan bahan-bahan seperti serbuk penaik dan juga serbuk soda. Tepung ini adalah tepung yang dikhaskan untuk membuat kuih-muih. Contoh Tepung Gandum Serbaguna adalah Tepung Gandum Cap Bunga Ros. Ia adalah antara jenis Tepung Gandum yang paling banyak digunakan oleh surirumah dalam menghasilkan kuih-muih, kek dan biskut.

Tepung Gandum Berprotein Tinggi juga dikenali sebagai tepung roti. Ia tepung yang dikhaskan untuk membuat adunan roti. Boleh juga digunakan untuk menghasilkan donat, kuih cakoi dan roti canai. Tepung ini juga sudah dicampur dengan kandungan vitamin seperti vitamin B, B12, mineral dan sebagainya.

Tepung Gandum Protein Rendah selalu digunakan dalam pembuatan kek. Teksturnya lebih halus dan lebih ringan.Selain kek, ia juga boleh digunakan dalam penghasilan biskut, pai dan kuih pau. Tepung ini ada campuran tepung gandum.

Tepung Gandum Tanpa Benzzoyl Peroksida. Antara jenama di dalam kategori ini adalah Tepung Gandum Cap Bunga Lili dan Tepung Gandum Jenama Faiza.

Secara amnyya terdapat pelbagai jenama untuk tepung gandum yang dikeluarkan oleh syarikat yang berbeza. Antaranya adalah Cap Sauh, Cap Wau, Cap Kunci, Cap Bunga Cempaka, Cap bunga Lili dan  Cap Bunga Ros. Selain itu ada jenama Baker' Choice, jenama keluaran Tesco dan juga Pasaraya Giant.

Jenama yang paling laris dan banyak digunakan oleh pengusaha biskut dan kuih-muih tradisi adalah Tepung Gandum Cap Kunci.

Tepung beras
Tepung beras merupakan bahan asas yang utama digunakan bagi penghasilan kuih-muih tradisi melayu. Terdapat pelbagai jenama tepung beras dengan penggunaan yang berbeza. Berikut di bawah adalah senarai jenama tepung dan kegunaannya.

Tepung Beras cap 1 Gajah
Sesuai untuk adunan menggoreng seperti membuat adunan goreng pisang, cempedakn keladi dll.Juga sesuai untuk menggoreng ikanm sotong, ayam dan sebagainya.Tepung ini telah dicampurkan dengan tepung jagung membuatkan ia sangat rangup.Ia juga sesuai digunakan bagi menghasilkan kudapan seperti rempeyek, kuih ros, pai tee dan lain-lain.

Tepung beras cap 2 Gajah
Sesuai untuk menghasilkan kuih-kuih tradisional seperti kuih lapis, apam....

Tepung beras cap 3 Gajah
Fungsinya masih sama dengan tepung beras cap 2 Gajah.

Tepung Beras cap 5 Gajah
Hanya sesuai digunakan untuk menghasilkan laksa dan pelbagai jenis bihun disebabkan kadungan tepung beras yang lebih padat

Tepung Beras cap 1 Bunga Teratai
Sangat sesuai membuat rempeyek dan apam disebabkan kandungan tepung berass yang dicampurkan dengan tepung jagung.

Tepung Beras cap 3 Bunga Teratai
Sangat sesuai diigunakan untuk menghasilkan kuih-muih melayu terutama kuih talam.

Pengenalan

Apabila disebut sahaja tentang kuih-muih melayu ataupun kuih tradisi masyarakat Melayu, selera kita dengan serta-merta berasa terliur. Terdapat pelbagai jenis kuih tradisi di negara kita ini dengan pelbagai nama dan rupa. Setiap negeri berkongsi citarasa yang sama. Membezakan adalah nama kuih tradisi itu sendiri mengikut negeri.

Sebut sahaja kuih tradisi melayu pasti akan terbayang akan keenakan kuih serimuka, kuih karipap dan kuih cucur badak. Kuih-muih tradisi ini bukan sahaja popular di kalangan masyarakat Melayu bahkan kaum lain juga amat menggemarinya.

Citarasa kuih-muih tradisi melayu ini sangat unik dan tidak boleh disamakan dengan pencuci mulut dari negara Barat seperti kek,cookies mahupun pastri.

Dari segi masa dan tenaga yang diperlukan untuk menghasilkan kuih-muih tradisi melayu dan Barat ini tidak jauh bezanya. Bahkan dari segi kos menghasilkan kuih muih melayu adalah lebih murah berbanding dengan pencuci mulut dari negara Barat.

Mungkin yang membezakannya adalah kuih-muih melayu tidak tahan lama kerana kebiasaannya kuih-muih tradisi melayu diperbuat daripada santan dan dimasak secara merebus dan mengukus dan menggoreng.

Zaman dahulu kuih-muih melayu ini hanya dihasilkan di rumah untuk dinikmati bersama ahli keluarga sahaja. Tidak ramai yang berjualan kuih-muih pada masa dahulu.

Kaum wanita zaman dahulu kebiasaannya mempunyai kepandaian asas dalam menghasilkan kuih-muih tradisi melayu ini. Akan tetapi kebanyakan suri rumah zaman dahulu membuat kuih-muih tradisi melayu ini tanpa menggunakan sukatan yang tepat. Mereka tidak menggunakan alat penyukat yang betul. Kebanyakan bahan disukat dengan menggunakan cawan atau gelas yang digunakan dirumah dengan saiz yang berbeza.Ini sedikit sebanyak mengganggu kaedah penghasilan kuih itu sendiri.

Kaum wanita zaman dahulu mempraktikkan cara yang sangat 'magis' dalam menentukan kesempurnaan adunan yang dihasilkan. Hanya dengan menggunakan jari-jemari sahaja sudah cukup untuk menentukan hasil kuih yang diidamkan menjadi dengan sempurna. Cara ini sudah tidak praktikal lagi di zaman ini.

Zaman berubah.Kaedah moden sudah diperkenalkan. Dengan bantuan alat-alatan moden, kerja meyukat bahan-bahan menjadi lebih mudah.

E-book ini merangkumi resepi dan juga panduan menyediakan kuih-muih tradisi melayu. Ia juga boleh dijadikan sebagai rujukan dalam memperluaskan dan memperkasakan pengetahuan pembaca. Ia meliputi pengetahuan tentang alat-alatan dan bahan-bahan yang digunakan. Selain itu banyak petua diberikan dalam menghasilkan kuih-muih melayu tradisi yang sempurna.

Selamat Mencuba.









Peralatan yang diperlukan

Dalam masak-memasak, ukuran atau sukatan bahan sangat mempengaruhi mutu kuih, baik penampilannya mahupun kelazatannya. Disarankan agar menggunakan alat penyukat yang sama setiap kali memasak selain mengikuti sukatan yang terdapat dalan resepi agar hasilnya tidak mengecewakan. 

Alat Penyukat

Alat Penimbang
Pilih alat penimbang yang bermutu yang boleh menyukat bahan bermula dari 1 gram.
(Gambar)

Cawan Penyukat
Digunakan untuk mengukur atau menyukat bahan-bahan kering. Terdapat pelbagai model bagi isipadu dan kandungan yang sama.
(Gambar)


Bekas Penyukat (Kaca atau Plastik
Untuk mengukur atau menyukat cecair . Pilih bekas yang sesuai dengan isi kandungannya sebagai contoh 250ml, 500ml atau 1 liter.
(Gambar)


Sudu Penyukat
Digunakan untuk meyukat bahan-bahan kering. Sudu penyukat terdiri daripada gabungan 1 sudu besar, 1/2 sudu besar, 1 sudu kecil, 1/2 sudu kecil, 1/4 sudu kecil dan 1/8 sudu kecil.Sudu penyukat diperbuat dari plastik ataupun logam.
(Gambar)

Alat Memasak
Mangkuk Mengadun
Pilih yang besar permukaannya supaya tangan mudah bergerak semasa menggaul, mengacau atau menguli adunan.
(Gambar)

Kuali dan Peralatannya
Digunakan untuk menumis atau menggoreng.Kuali diperbuat dari aluminium tebal, teflon atau besi.
(Gambar)

Senduk kayu
Sesuai digunakan untuk mengacau adunan tepung terutama yang harus dimasak terlebih dahulu.
(Gambar)

Pengayak Tepung
Pilih yang berlubang kecil agar tepung yang digunakan tidak bercampur dengan kotoran atau bergumpal.
(Gambar)

Pengukus Logam
Ada yang berbentuk bulat buatan negara Thailand. Ada yang berbentuk segiempat buatan negara Indonesia.
(Gambar)

Pengukus elektrik
Berfungsi untuk memudahkan kerja-kerja menghasilkan kuih.
(Gambar)

Pengukus Buluh
Diperbuat daripada buluh. Penggunaan pengukus ini merupakan cara yang paling mudahuntuk mengukus iaitu dengan meletakkannya di atas kuali berisi air dan ditutup.
(Gambar)

Pelbagai Jenis Acuan
Acuan kuih bakar/bahulu kemboja, acuan kuih cara bunga, acuan kuih cara telur, acuan kuih lompang, acuan kuih serabai, acuan bingka tradisi dan pelbagai saiz loyang
(Gambar)

Peralatan untuk menghidang/menghias kuih
(Gambar)



Bahan-bahan Masakan

Bahan-bahan Utama
Tepung gandum
(Gambar)

Tepung beras
(Gambar)

Tepung ubi kayu
(Gambar)

Tepung kastad
(Gambar)

Tepung honkwee putih atau green pea
(Gambar)

Tepung Pulut
(Gambar)

Pulut
(Gambar)

Tepung Suji
(Gambar)

Ubi kayu
(Gambar)

Ubi keledek
(Gambar)

Ubi Keladi
(Gambar)

Pisang
(Gambar)
Labu kuning
(Gambar)

Bahan Sampingan
Biji Sagu Mutiara
(Gambar)

Kelapa parut
(Gambar)

Santan segar/kotak
(Gambar)

Kacang merah/kacang hijau
(Gambar)

Air kapur
(Gambar)

Serbuk Penaik
(Gambar)

Soda Bikarbonat
(Gambar)

Ovelette
(Gambar)

Bahan Pemanis
Gula Merah
(Gambar)

Gula Melaka
(Gambar)

Gula Pasir
(Gambar)

Bahan Pewangi
Daun Pandan
(Gambar)

Esen Vanilla
(Gambar)


Resepi Talam Cendol

Saya belajar kuih Talam Cendol ini dengan guru masakan Puan Norpisah yang saya panggil dengan nama Kak Nor sahaja. Mula mengenali Kak Nor sewaktu saya menghadiri kelas demo di kedai bahan bakeri Bake With Yen KL.

Kak Nor merupakan guru masakan pertama saya secara professional. Alhamdulillah banyak juga resepi air tangan Kak Nor yang saya guna sehingga sekarang. Teringat waktu nak menghadiri kelas memang sangat banyak cabarannya. Itulah kali pertama saya memandu sendiri ke Cheras Bandar Tasik Permaisuri kerana waktu itu Kak Nor sudah mempunyai studio masakan sendiri. Sebelum itu kelas beliau hanya diadakan sama ada di Bake With Yen KL ataupun dirumahnya juga di Cheras.

Berkorban duit ringgit bukan masalahnya kalau kita bertul-betul berkeinginan untuk belajar,

Jom lihat resepi.

Bahan-bahan:

A
250g tepung beras
880ml santan cair
1 sudu kecil garam
145g gula halus

B
280g cendol

Cara-caranya:

Campurkan kesemua bahan di periuk. Kacau rata. Masak di atas api hingga naik wap. Baharu masukkan cendol. Kacau hingga adunan pekat. Tuangkan adunan ke dalam acuan loyang yang telah dialaskan dengan plastik. Kukus selama 20-25 minit dengan menggunakan api besar.


Bahan-bahan lapisan atas:

5 biji telur
500ml santan pekat
85g tepung gandum
Sedikit pewarna kuning
1/2 sudu kecil garam
Sedikit esen vanila

Cara-caranya:
Telur dan gula dikacau rata terlebih dahulu. Kemudian masukkan semua bahan-bahan lain. Kacau di atas api sehingga naik wap. Curahkan ke atas adunan yang telah dikukus awal tadi. Kukus selama 25-30 minit dengan api sederhana. Penutup pengukus mestilah dilap setiap 5 minit bagi memastikan wap air panas tidak menitis ke atas permukaan kuih.





Wednesday, 8 May 2019

Resepi Pulut Panggang

Kesukaan suami saya ni Kuih Pulut Panggang. Tapi yang sedaplah.Kalau tak sedap dia tak makan.

Kalau betul cara buatnya pulut panggang ni memang syok makan. Cukup masak pulutnya dan tidak lembik. Tambah pulak intinya yang secukup rasa.

Aduh!

Jom kita lihat resepinya.

Bahan-bahan:

A
800g beras pulut
300ml santan pekat
300ml air
1 sudu kecil garam

Daun pisang untuk membungkus.(Layukan terlebih dahulu dan potong mengikut saiz yang dikehendaki)

Cara-caranya:

Kukus bahan-bahan A hingga masak. Jangan terlalu lama supaya pulut tak lembik sangat.

Bahan Inti:

A
100g cili kering (direbus dan dikisar)
80g bawang merah
80g bawah putih
80g udang kering

B
200g gula putih
2 sudu kecil garam halus (boleh tambah)
2 sudu kecil jintan manis (disangrai dan ditumbuk atau kisar)
Serbuk perisa (pilihan)

C
750g kelapa parut (dikukus selama 20 minit untuk tahan lama)

D
2 batang serai (dihiris halus)

Sediikit minyak untuk menumis


Cara-caranya:

Kisar semua bahan A hingga halus. Tumiskan di dalam kuali besar. Bila sudah naik bau, masukkan bahan B. Kacau rata. Masak hingga agak pekat. Kemudian masukkan bahagian C. Kacau rata. Akhir sekali masukkan serai yang telah dihiris halus. Kacau rata sehingga inti betul-betul masak dan kering. Biar inti sejuk dahulu baharu boleh digunakan.

Adunan ini boleh menghasilkan cucur badak dalam 40-50 biji mengikut saiz yang diperlukan.


**Gambar beserta video akan dimuat turun kemudian


Resepi Cucur Badak

Satu lagi kuih pedas antara kuih yang digemari ramai. Cucur badak juga antara yang menjadi pilihan saya di dalam kategori kuih pedas selain karipap. Tapi bersyarat. Adunan tepungnya mestilah lembut dengan intinya yang secukup rasa dan hanya menggunakan parutan kelapa segar. Bukan guna hampas kelapa ye. Barulah sedap dimakan.

Selain ubi keledek putih, boleh juga gunakan ubi keledek oren. Saya suka gabungkan ubi keledek oren dan putih.

Jom lihat resepi.

Bahan-bahan:

2 kilo ubi keledek putih
400g tepung gandum
1/2 sudu kecil garam

Cara-caranya:

Ubi keledek dipotong kecil-kecil dan kukuskan Bila ubi sudah empuk lenyekkan sewaktu ubi masih panas.

Bahan Inti:

A
100g cili kering (direbus dan dikisar)
80g bawang merah
80g bawah putih
80g udang kering

B
200g gula putih
2 sudu kecil garam halus (boleh tambah)
2 sudu kecil jintan manis (disangrai dan ditumbuk atau kisar)
Serbuk perisa (pilihan)

C
750g kelapa parut (dikukus selama 20 minit untuk tahan lama)

D
2 batang serai (dihiris halus)

Sediikit minyak untuk menumis


Cara-caranya:

Kisar semua bahan A hingga halus. Tumiskan di dalam kuali besar. Bila sudah naik bau, masukkan bahan B. Kacau rata. Masak hingga agak pekat. Kemudian masukkan bahagian C. Kacau rata. Akhir sekali masukkan serai yang telah dihiris halus. Kacau rata sehingga inti betul-betul masak dan kering. Biar inti sejuk dahulu baharu boleh digunakan.

Adunan ini boleh menghasilkan cucur badak dalam 40-50 biji mengikut saiz yang diperlukan.


**Gambar beserta video akan dimuat turun kemudian


Kuih Talam Berlauk

Asyik dengan kuih manis je. Tak boleh jadi ni. Nak kena potong kaki ke?

Sesekali kita layan kuih yang pedas-pedas pulak lah ye. Resepi Talam Berlauk ini hasil dari kelas saya belajar dengan Kak Nor di awal-awal pembabitan saya dalam dunia kuih-muih ni.

Sangat sedap. Terasa lemak masin lapisan bawah kuih talam ini beserta lauknya sedikit rasa rempah dan pedas. Memang membangkitkan selera.


Bahan-bahan:

A
600g tepung beras
2 sudu besar tepung jagung
1 sudu besar garam halus
1/2 inci halia
2200m santan

B (Dadih)
2 sudu besar tepung beras
290ml air

Kacau rata bahan-bahan A. Masakkan di atas api sederhana sehingga pekat. Curahkan ke dalam loyang saiz 10"x10'x2" yang telah siap dialaskan dengan plastik.

Kukus adunan selama 20-25 minit.

Sambil itu masakkan bahan B. Didihkan di atas api yang sederhana. Kacau hingga adunan agak pekat seperti kanji.

Bahan Lauk:

A
5 biji bawah ros kecil
5 ulas bawang putih
1/2 inci halia

B
5 sudu besar rempah kari daging
400g daging atau ayam kisar
Garam secukup rasa
Sedikit serbuk perisa (pilihan)
Sedikit cili serbuk (pilihan untuk tambah rasa pedas)

C
Daun bawang
Daun sup
Cili merah dan cili hijau
Sedikit bawang goreng

Sedikit minyak untuk menumis.

Cara-caranya:

Panaskan minyak. Tumis bahan A hingga kekuningan dan naik baunya. Masukkan rempak kari yang telah dibancuh dengan sedikit air. Masak hingga naik bau dan pecah minyak. Kemudian masukkan garam dan perisa. Biar betul-betul masak baharu diangkat.

Setelah adunan lapisan bawah masak. Curahkan dadih ke atasnya. Kukus selama 3-5 minit. Kemudian baharu ditaburkan dengan lauk daging atau ayam itu tadi. Kukus selama 20-25 minit. Bila sudah masak taburkan dengan daun bawang dan sup, cili merah dan hijau beserta bawang goreng. Tunggu sejuk baru boleh dipotong.




Tuesday, 7 May 2019

Talam Kacang Merah

Kuih Talam Kacang Merah ini ada peminatnya sendiri. Dahulu ada satu syarikat katering ni yang suka menempah Kuih Talam Kacang Merah ini. Sedap kata mereka. Boleh dikatakan dalam seminggu mesti ada tempahan untuk Talam Kacang Merah ini. Mereka antara syarikat katering yang membekalkan perkhidmatan makanan untuk Pusat Latihan Maybank di Bangi.

Tapi dahulu harga kuih talam bukan macam sekarang. Harga untuk katerer adalah sekitar RM15-18 seloyang mengikut jenis kuih pada tahun 1998.

Harga sekarang pula mencecah RM30-36 seloyang. Harga adalah mengikut lokasi dan jenis kuih.


Jom kita tengok resepi.

Lapisan Bawah
Bahan-bahan:

150g kacang merah
180g tepung beras
40g tepung honkwee
400ml santan
650ml air
250g gula
1/2 sudu kecil garam
Sedikit pewarna merah

Cara-caranya:

Campurkan kesemua bahan di atas. Kacau di atas api hingga pekat, Tuang ke dalam acuan loyang saiz 10"x10"x2" yang telah dialaskan dengan plastik. Kukus selama 20 minit. Sambil itu siapkan bahan-bahan untuk lapisan atas.

Lapisan Atas
Bahan-bahan:
jika
500ml santan
3 biji telur
250g gula
1/2 sudu kecil garam
Sedikit pewarna kuning

Cara-caranya:

Campurkan kesemua bahan dan tapis. Masakkan sehingga naik wap. Tuangkan ke atas adunan lapisan bawah yang telah dikukus. Kukus selama 25-30 minit. Seperti biasa jangan lupa untuk lapkan penutup pengukus supaya air dari wap panas tidak menitis ke permukaan kuih.

Gunakan api sederhana besar apabila mengukus lapisan atas. Jika suhu terlalu panas, permukaan kuih akan berkedut.





**Gambar beserta video akan dimuat turun kemudian.



Resepi Talam Suji

Dulu selalu pelanggan bertanya, kuih talam apakah yang sesuai untuk ditempah. Saya selalu cadangkan kepada pelanggan untuk masukkan sekali kuih Talam Suji ini dalam senarai tempahan. Bukan sahaja kerana kombinasi warnanya yang cantik. Rasanya juga sedap.

Lapisan bawahnya berwarna kuning manakala lapisan atas berwarna coklat. Sangat cantik gabungan warnanya. Letakkan pula sebaris dengan kuih Serimuka dan Talam Kacang Merah. Pasti tetamu sangat teruja.

Meja hidangan pasti nampak berseri. Betul tak?

Ok jom kita lihat resepinya.

Bahan-bahan:
A
180g tepung suji
450ml air

B
220g gula halus
2 biji telur (Gred B)
200ml santan pekat
250ml air
1/2 penutup pewarna kuning telur

Cara-caranya:
Rendam bahan-bahan A selama 30 minit. Paling kurang 15 minit. Satukan kesemua bahan-bahan B. Kemudian dikacau rata.Setelah rata tapiskan adunan B ke dalam A. Masukkan pewarna kuning. Kacau kesemua bahan di atas api yang kecil sehingga kental.Setelah itu masukkan adunan yang telah dimasak tadi ke dalam loyang berukuran 10'x10"x2" yang telah dialaskan dengan plastik.Kukus selama 20-25 minit.Penutup pengukus mestilah dilap berselang 5 minit supaya air tidak menitis ke atas permukaan adunan. Kukus dengan api besar.

Bahan-bahan: (ATAS)

A
300g gula merah
50g gula putih
500ml air

B
150g tepung gandum
5 biji telur
250ml santan pekat

Cara-caranya:

Rendam bahan-bahan A dalam 30 minit. (Boleh juga gunakan gula merah cap bintang - siap bertapis)
Kemudian satukan bahan-bahan B. Masukkan Bahan-bahan A ke dalam bancuhan D. Tapiskan ke dalam periuk. Masak sehingga naik wap. Kemudian tuangkan ke atas bancuhan lapisan bawah yang telah dikukus tadi. Bancuhan lapisan bawah ini setelah masak mesti dicakar sedikit permukaannya menggunakan garpu. Kukus sehingga masak selama lebih kurang 30 minit. Jangan lupa untuk lap penutup pengukus setiap 5 minit.

**Gambar beserta video akan dimuat turun kemudian






Resepi Puding Jagung


Puding jagung stail dulu-dulu. Sedap dimakan sejuk. Kena pastikan teksturnya lembut tapi bukan lembik. Puding jagung yang menjadi dan sedap adalah yang masih boleh dipotong menggunakan pisau.

Puding Jagung ni sangat sedap. Lemak manis dan berkrim. Manisnya yang tidak keterlaluan dengan rasa lemak dari jagung itu sendiri.

Boleh jugak diletakkan di dalam acuan seperti gambar dibawah.


Bahan-bahan:

1 cawan tepung kastad
1 cawan gula kastor (Kak Zana kurangkan 1 1/2 sudu besar)
1 1/2 cawan air
1 tin jagung cream (boleh tambah jagung jika suka)
1 tin susu cair
1 sudu besar tepung jagung

Cara-caranya:

Masukkan air, tepung kastad dan tepung jagung ke dalam periuk. Kacau hingga rata. Guna api yang perlahan ye. Kemudian baru masukkan bahan-bahan lain. Kacau hingga rata  Sentiasa kacau hingga adunan menjadi pekat dan licin. Tutup api.

Masukkan kedalam acuan. Kak Zana guna acuan apam solo. Kebetulan memang ada acuan apam solo ini dirumah.

Ataupun boleh juga guna loyang empat segi yang telah dialaskan dengan plastik.

Biarkan sejuk. Baru boleh keluarkan dari acuan ataupun dipotong jika menggunakan loyang.

Sedia untuk dimakan.



Selamat Mencuba.